23 Januari 2010

Al-Hadith : Bekas Air Perak

Daripada Ummu Salamah r.a isteri Nabi s.a.w, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Orang yang minum dengan wadah atau bekas air yang diperbuat dari perak, sesungguhnya akan dididihkan perutnya dengan api Neraka Jahanam.

(Riwayat Muslim)

Al-Hadith : Solat di akhir malam

Daripada Aisyah r.a.
Bahawasanya Nabi s.a.w. tidur di permulaan malam dan bangun pada akhir malam lalu bersolat."

(Muttafaq 'alaih)

Al-Hadith : Antara Hidup Dan Mati

Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a., Nabi s.a.w, bersabda:

"Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir kepadaNya ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati."

(Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a., Nabi s.a.w, bersabda:

"Perumpamaan rumah yang di dalamnya digunakan untuk berzikir kepada Allah dan rumah yang tidak digunakan untuk berzikir kepada Allah adalah seperti benda yang hidup dan benda yang mati."

(Riwayat Muslim)

10 Januari 2010

Syurga atau Neraka?

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:

Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan.

Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Neraka sehinggalah dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli Neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah dia memasukinya.


(Riwayat Muslim)

Ajaran Oleh Malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW

"Daripada Umar ra, katanya:

Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi. Kemudian ia berkata: "Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam," maka Rasulullah menjawab: "Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya". Dia berkata: "Benarlah engkau". Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: "Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?", Rasulullah menjawab: "Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya". Dia berkata: "Benarlah engkau". Kemudian dia bertanya lagi: "Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?" Rasulullah menjawab: "Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau".

Akhirnya dia berkata – meneruskan pertanyaannya lagi: "Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat". Rasulullah menjawab: "Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya". "Kalau begitu – katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja." Rasulullah menjawab: "Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: "Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?". Berkata aku: "Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu." Rasulullah berkata: "Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu."


Hadis sahih riwayat Muslim

ULASAN Abdurahman Haqqi
( BERITA MINGGU-Ahad, 10 Januari 2010 )