10 Januari 2010

Ajaran Oleh Malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW

"Daripada Umar ra, katanya:

Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi. Kemudian ia berkata: "Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam," maka Rasulullah menjawab: "Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya". Dia berkata: "Benarlah engkau". Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: "Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?", Rasulullah menjawab: "Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya". Dia berkata: "Benarlah engkau". Kemudian dia bertanya lagi: "Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?" Rasulullah menjawab: "Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau".

Akhirnya dia berkata – meneruskan pertanyaannya lagi: "Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat". Rasulullah menjawab: "Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya". "Kalau begitu – katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja." Rasulullah menjawab: "Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: "Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?". Berkata aku: "Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu." Rasulullah berkata: "Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu."


Hadis sahih riwayat Muslim

ULASAN Abdurahman Haqqi
( BERITA MINGGU-Ahad, 10 Januari 2010 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan